Siasat punca banjir kilat di Kampung Tanah 100

Seorang penduduk yang terlibat menunjukkan limpahan air dari kolam ternakan ikan keli berhampiran rumahnya.
Seorang penduduk yang terlibat menunjukkan limpahan air dari kolam ternakan ikan keli berhampiran rumahnya.
A
A
A

NIBONG TEBAL- Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Jabatan Perikanan Perak segera menyiasat punca masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kampung Tanah 100 Sungai Bakau dekat Parit Buntar, Perak.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kejadian berkenaan berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu dan kini semakin kerap berlaku menyebabkan peralatan serta perabut di beberapa buah rumah di kampung berkenaan mengalami kerosakan.

Menurutnya, walaupun masalah ini telah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut dengan berkesan.

"Dalam tinjauan yang dibuat SAM difahamkan oleh penduduk-penduduk yang terlibat bahawa keadaan ini berlaku berpunca dari sistem saliran yang tidak sempurna dan pembuangan sisa dari kolam ternakan ikan keli berhampiran.

"SAM mendapati saliran sepanjang 200 meter berhampiran kolam ternakan ikan keli di kampung tersebut dipenuhi sisa lumpur manakala sekitarnya pula digenangi air yang bertakung serta berbau busuk," katanya.

Beginilah sisa lumpur dari kolam ternakan ikan keli yang mendap dalam saliran.
Beginilah sisa lumpur dari kolam ternakan ikan keli yang mendap dalam saliran.

SM Idris berkata, terdapat juga kawasan sawah di kampung ini terbiar kerana tidak boleh diusahakan akibat diancam limpahan sisa buangan dari kolam ternakan ikan keli di kampung itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, SAM kesal walau pun kejadian ini sudah lama berlaku dan mengancam kehidupan penduduk kampung di sini tetapi tidak ada pihak yang tampil menyelesaikannya.

"Kami juga ingin mempersoalkan bagaimana projek akuakultur boleh dibenarkan beroperasi di kampung itu tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

"Sehubungan itu, kami meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang serta peraturan berkaitan," katanya.

Tambahnya, pihaknya bimbang sekiranya punca masalah ini gagal ditangani dengan berkesan bukan saja kehidupan penduduk-penduduk kampung berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi malah alam sekitar dan kawasan sawah di sini juga akan turut musnah pada masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!