Manchester United lebar rentak kemenangan

Sancho pencetak gol Manchester United di Leicester.
Sancho pencetak gol Manchester United di Leicester.
A
A
A

MANCHESTER United meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjinakkan Leicester City 1-0 di Stadium King Power pada Jumaat.

Jaringan minit ke-23 separuh masa pertama Jadon Sancho yang menyudahkan hantaran Marcus Rashford menewaskan penjaga gol tuan rumah Danny Ward membolehkan pelawat membawa pulang tiga mata.

The Foxes kendalian Brendan Rodgers turut berpeluang menjaringkan gol, namun sepakan percuma James Maddison diselamatkan penjaga gol The Red Devils, David De Gea.

Pada babak kedua, pengendali Manchester United, Erik ten Hag memasukan Cristiano Ronaldo pada minit ke-68, bagi mempertajamkan bahagian serangan pasukan.

Ronaldo, yang dikaitkan dengan perpindahan dari kelab semasa jendela perpindahan juga hampir melebarkan kedudukan pelawat sebelum tersasar.

Leicester juga mempunyai peluang pada penghujung perlawanan, namun percubaan James Justin melewati palang gol.

Kemenangan di Stadium King Power itu melonjakkan Manchester United ke tangga kelima dengan sembilan mata hasil lima perlawanan, enam di belakang pendahulu sensasi Arsenal dan empat mata di belakang seteru setempat Manchester City di tempat kedua manakala Leicester City kekal terbawah dengan satu mata.

Sementara itu, ten Hag mengakui gembira dengan semangat juang ditunjukkan para pemain Manchester United sepanjang perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah ten Hag juga kagum dengan kerjasama erat dalam kalangan pemain di padang sepanjang 90 minit.

“Sekali lagi kami mempunyai semangat berpasukan yang baik, kami mempunyai 11 pemain di padang yang berjuang untuk satu sama lain.

“Saya gembira dengan rekod bersih di Leicester hari ini. Apabila 11 pemain kami berada di atas padang, kami bertahan bersama dan menyerang bersama-sama,” katanya selepas perlawanan.

Biarpun begitu, bekas pengendali Ajax Amsterdam itu juga mengakui masih terdapat keperluan untuk penambahbaikan bagi memastikan kelab terus berkembang musim ini.

"Walaupun malam ini boleh disifatkan sebagai langkah ke hadapan, begitu pun masih terdapat ruang penambahbaikan, namun itu perkara biasa pada permulaan musim.

“Kami memerlukan bukan sahaja sebuah pasukan, tetapi sebuah skuad yang mantap," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!