Cadangan Pas guna logo sendiri dibawa ke mesyuarat PN
ALOR SETAR - Cadangan Pas untuk menggunakan logo sendiri di Terengganu, Kelantan dan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) kata, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Pas akan membawa perkara itu ke mesyuarat akan datang.
"Kalau belum dimuktamadkan penggunaan logo itu, sebab ada negeri yang mohon nak pakai logo Pas, kami akan bawa pada perbincangan akan datang.
"Tujuannya kami tidak mahu pengundi keliru dengan warna biru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-63 sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di sini.
Sebelum ini di Konvensyen PN, perwakilan dari Terengganu dan Kedah mencadangkan lambang Pas dapat digunakan di negeri berkenaan pada PRU15.
Perwakilan tersebut berkata, perkara itu perlu dipertimbang mengambil kira senario politik di pantai timur berbeza berbanding peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun Muhammad Sanusi berkata, ia terpulang kepada keputusan mesyuarat yang akan diadakan nanti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!