Tulang dinosaur paling tua Afrika ditemui
JOHANNESBURG - Para saintis pada Rabu mengumumkan penemuan tulang-tulang dinosaur tertua di Afrika di Zimbabwe yang berkeliaran di bumi sekitar 230 juta tahun dahulu.
Dinosaur bernama Mbiresaurus Raathi itu setinggi kira-kira satu meter dengan ekor panjang dan berat sehingga 30 kilogram, menurut pasukan paleontologi antarabangsa yang membuat penemuan tersebut.
"Ia berlari dengan dua kaki dan mempunyai kepala yang agak kecil," kata Christopher Griffin, saintis yang menemui tulang pertama memberitahu AFP pada Khamis.
Dinosaur itu kemungkinan memakan tumbuh-tumbuhan, haiwan kecil dan serangga.
Ia tergolong dalam spesies sauropodomorph, keturunan yang berleher panjang gergasi, kata Griffin, seorang penyelidik berusia 31 tahun di Universiti Yale.
Rangka itu ditemui semasa dua ekspedisi dilakukan pada tahun 2017 dan 2019 oleh pasukan penyelidik dari Zimbabwe, Zambia, dan Amerika Syarikat (AS).
Penemuan pasukannya pertama kali diterbitkan dalam jurnal Nature pada Rabu.
Dinosaur itu dinamakan sempena nama daerah Mbire, timur laut Zimbabwe, tempat rangka tersebut ditemui dan Michael Raath iaitu seorang ahli paleontologi yang melaporkan penemuan tulang-tulang haiwan itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!