'Selamat tinggal, terima kasih Arsenal'
HECTOR Bellerin kembali semula ke kelab zaman remaja Barcelona dengan kontrak setahun selepas menamatkan khidmat bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal pada Khamis.
Menurut kelab di tangga ketiga LaLiga Sepanyol itu, The Catalans dan Bellerín telah mencapai persetujuan berkenaan perkara tersebut.
"FC Barcelona dan Hector Bellerín telah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain pertahanan itu selepas menamatkan kontraknya dengan Kelab Bola Sepak Arsenal.
“Pemain itu akan menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2023 dan klausa pembelian telah ditetapkan pada 50 juta euro,” kata Barca dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Bellerin, 27, telah membuat 239 penampilan bersama skuad utama Arsenal termasuk menjulang kejuaraan Piala FA sebanyak tiga kali.
“Rasanya baharu beberapa tahun lalu saya mendarat di London buat kali pertama...
"Dengan penuh kesedihan saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab ini,” tulis pemain pertahanan itu di laman sosial medianya.
Untuk rekod, bek kanan Sepanyol itu merupakan antara produk akademi La Masia Barca yang menyahut cabaran saingan EPL bersama Arsenal pada 2011.
Bagaimanapun Bellerín menghabiskan musim lalu secara pinjaman bersama kelab LaLiga Sepanyol, Real Betis yang menyaksikan pasukan itu menjuarai Piala Raja Sepanyol.
Sementara itu, Barca mengesahkan telah meminjamkan pemain pertahanan, Sergino Dest kepada kelab Serie A, AC Milan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!