Pemain Aston Villa diminta kekal fokus
KESEBELASAN Aston Villa diminta untuk kekal fokus selain memberikan aksi terbaik ketika berdepan Manchester City di Villa Park pada Ahad.
Pengendalinya, Steven Gerrard berkata, kesemua pemain juga diharap tidak melepaskan peluang di hadapan pintu gol lawan dalam usaha menghasilkan jaringan pada perlawanan berkenaan.
“Kita tidak ada pilihan selain untuk mencatatkan kejayaan dan keluar dari zon ‘bahaya’ ketika ini secepat mungkin.
“Walaupun masih di peringkat awal, kita sememangnya tidak boleh terus berada pada kedudukan ini.
“Oleh sebab itu, semua pemain diminta untuk memberikan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan ini,” katanya.
Untuk rekod, Aston Villa kini berada pada kedudukan kedua tercorot EPL dengan tiga mata setelah mengharungi lima perlawanan.
Kedudukan berkenaan secara tidak langsung dilihat ‘mengancam’ kedudukan Gerrard selaku pengendali skuad berkenaan musim ini.
Mengulas mengenai kedudukannya selaku pengendali Aston Villa, Gerard berkata, dia akan tetap melaksanakan tugas berkenaan dengan sebaik mungkin.
Katanya, dia memiliki tanggungjawab yang perlu diselesaikan di Villa Park dan akan cuba sedaya upaya membalas kepercayaan pihak pengurusan kepadanya selama ini.
“Ya, saya mengakui ada mendengar cakap-cakap mengenai kedudukan saya di Villa Park ini, tetapi selagi saya masih ada di sini, saya akan terus melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” ujar Gerard.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!