Acara kayuhan, larian, memancing meriahkan Festival Majestic Johor
ISKANDAR PUTERI - Acara kayuhan basikal, larian dan memancing akan diadakan pada 8 hingga 18 September 2022 bersempena sambutan Festival Majestic Johor 2022 di Puteri Halbour Nusa Jaya di sini.
Pengarah Projek Exe Media, Annuar Noor Ali berkata, mereka yang sukakan aktiviti basikal dan larian berpeluang menyertai acara tersebut pada 10 September di Sireh Park.
"Peserta acara larian 5 kilometer dan kayuhan 30 kilometer yang berdaftar layak mendapat t-shirt, medal dan cabutan bertuah.
"Untuk acara memancing pula hadiah untuk pemenang akan disediakan selain layak memiliki t-shirt cantik dan menarik," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau yang juga Presiden Darul Takzim Cycling Club (DTCC) berkata, setakat ini lebih 1,000 akan menyertai tiga acara berkenaan.
Jelasnya, tujuan acara itu diadakan untuk mengerat perpaduan dalam kalangan kaum selain memeriahkan sambutan Festival Majestic Johor.
Festival Majestic Johor bakal menampilkan pelbagai tarikan dan keunikan pelancongan serta warisan 10 daerah di negeri ini.
Istimewanya sempena festival tersebut, kenderaan yang digunakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu Kembara Mahkota Johor (KMJ) juga akan dipamerkan.
Festival julung kali diadakan itu dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dengan disertai peserta dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Korea.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!