Ketirisan, salah guna kuasa halang kemajuan di pedalaman

Nasim Ralim
Nasim Ralim
A
A
A

SHAH ALAM - Nasib anak bangsa di kawasan pedalaman menjadi pertaruhan apabila kemudahan asas sempurna masih gagal dilaksanakan ekoran masalah rasuah dan salah guna kuasa yang masih berleluasa.

Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), Nasim Ralim berkata, biarpun negara telah mencapai kemerdekaan 65 tahun lalu, namun akibat isu ketirisan segala usaha kerajaan membangunkan masyarakat di luar bandar terjejas.

Menurutnya, bukan sahaja kemudahan internet yang sangat diperlukan di kawasan luar bandar, masalah bekalan elektrik dan isu pendidikan masih gagal diselesaikan dengan baik demi kesejahteraan hidup rakyat.

"Tiada siapa dapat nafikan kemudahan elektrik menjadi keperluan utama masyarakat masa kini, selain pendidikan yang menjadi asas terpenting untuk membina sesebuah tamadun manusia berjaya.

"Anak-anak bangsa kita di kawasan pedalaman telah lama dianaktirikan walaupun kita telah menyambut kemerdekaan ke-65.

"Perasaan gembira menyambut ulang tahun kemerdekaan bercampur baur dengan rasa sedih mengenangkan masih ramai yang tidak dapat merasai nikmat daripada hasil mahsul negara, sebaliknya dijarah dan dirompak oleh mereka yang rakus membolot kekayaan negara," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Sehubungan itu katanya, Pemuda GEMA mengajak rakyat Malaysia terutama golongan anak muda untuk terus memerangi budaya rasuah sehingga ke peringkat akar umbi.

Tegasnya, anak muda negara yang bebas merdeka seharusnya mempunyai semangat jati diri tinggi dan berani untuk membanteras rasuah yang wujud di sekeliling mereka.

Artikel Berkaitan:

"Budaya rasuah serta salah guna kuasa perlu dihindarkan jauh daripada diri masing-masing, sebaliknya sentiasa berfikir panjang terhadap kesan rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan negara," katanya.

Justeru katanya, orang ramai perlu memanfaatkan platform untuk memerangi rasuah dan contoh terbaik adalah menyertai rakan gabungan Rasuah Busters.

Jelasnya, penglibatan secara langsung di dalam Rasuah Busters bukan sahaja berpeluang menyampaikan kesedaran tentang bahaya dan betapa jijiknya amalan rasuah, anak muda juga dapat berjuang membebaskan negara daripada barah rasuah dan salah guna kuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!