Kaedah PdP perlu praktikal, mampu penuhi kehendak pasaran pekerjaan
PUTRAJAYA - Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional yang bergantung kepada nota atau kuliah semata-mata sudah tidak relevan sebaliknya perlu lebih bersifat praktikal dan berupaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan kata, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Justeru, katanya, aspek strategi serta bahan yang digunakan dalam reka bentuk kurikulum adalah sangat penting terutamanya dalam menghasilkan pengalaman PdP yang lebih menarik dan mengujakan dan ia memerlukan sektor pendidikan tinggi melakukan breakthrough innovation atau inovasi berskala besar.
"Lakukan breakthrough innovation dan berikan nilai tambah yang tidak terjangka kepada pemegang taruh kita," katanya selama ini pendekatan yang digunakan adalah bersifat incremental innovation atau penambahbaikan yang dibuat berskala kecil.
Ketika membangunkan reka bentuk kurikulum yang baharu melalui pendekatan breakthrough innovation, Noraini berkata kurikulum yang dibangunkan hendaklah dapat membantu para akademia merancang persekitaran pembelajaran secara holistik dengan mengambil kira situasi semasa dan akan datang.
"Kurikulum yang dihasilkan juga hendaklah berupaya membantu pelajar untuk belajar melebihi tahap pengetahuan semasa mereka," katanya dalam teks ucapan beliau sempena majlis Anugerah Khas Menteri Pengajian Tinggi: Rekabentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif (AKRI), pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!