Kerajaan akan wujud Pusat Kecemerlangan RISDA

Ismail Sabri mengacau gulai daging batang pisang di gerai 'kedohoq' sempena Program 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap pada Jumaat. - Foto KPLB
Ismail Sabri mengacau gulai daging batang pisang di gerai 'kedohoq' sempena Program 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap pada Jumaat. - Foto KPLB
A
A
A

PADANG TERAP - Kerajaan akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi melatih anak tempatan sebagai persediaan bekerja di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat latihan bernilai 15 juta yang bakal dibina itu adalah usaha untuk menyokong industri getah di daerah ini dan yang pertama di Malaysia.

Menurutnya, Padang Terap mampu menjadi salah satu daerah paling maju di Kedah hasil perkembangan industri Kedah yang dipacu oleh KRC.

"Saya percaya daerah ini akan maju selepas ini. Saya pernah datang ke KRC yang kini dari segi pelaburan bernilai RM3 bilion dan akan datang mencecah RM10 bilion.

"KRC ini adalah satu-satunya yang ada di negara ini. Sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dan sudah pasti akan memberikan manfaat kepada anak-anak tempatan," katanya semasa berucap di hadapan kira-kira 15,000 penduduk pada Program 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap.

Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk pada Program 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap pada Jumaat. - Foto KPLB
Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk pada Program 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap pada Jumaat. - Foto KPLB

Perdana Menteri tiba jam 11.15 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang dibawa ke gerai 'kedohoq' melihat cara masakan kampung yang memasak nasi apollo dan gulai daging batang pisang.

Beliau diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid sempat beramah mesra dengan penduduk setempat sebelum dibawa ke pentas utama.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan membina jalan empat lorong bermula dari Pokok Sena menuju ke Durian Burung, Padang Terap yang secara tidak langsung akan menyokong pembangunan dan kemajuan di daerah ini.

Menurutnya, bandar sempadan di antara Malaysia dan Thailand juga akan dibina hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha bagi merancakkan ekonomi sempadan dengan Padang Terap antara daerah yang turut menerima manfaat.

"Pekan Kuala Nerang akan menjadi pilihan pelancong dari Thailand selepas ini. KRC akan menjadi salah satu daya tarikan selain pusat industri.

"Selain itu, kita juga akan segera naik taraf pencapaian internet di daerah ini bagi membantu penduduk setempat," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!