Lupakan hasrat ke stadium beli tiket final Piala AFF Suzuki
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini meminta penyokong Harimau Malaya yang berhasrat ke Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini bagi membeli tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam, agar melupakan hasrat mereka.
Ini kerana kata Setiausaha Agung FAM Stuart Michael Ramalingam, selepas mengambil kira barisan penyokong yang beratur sejak malam tadi di kaunter tiket A dan E di stadium itu sudah mengelilingi stadium, kesemua 40,000 tiket yang diperuntukkan hari ini akan habis dijual dalam masa singkat.
"Justeru, FAM sekali lagi berharap tiada lagi tambahan penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional, pagi ini kerana ia hanya akan menyebabkan anda pulang dengan rasa kecewa," katanya dalam kenyataan di sini.
"Bagi penyokong yang sedang beratur di Stadium Nasional ketika ini, saya sedang berbincang dengan pihak polis untuk penyediaan bantuan keselamatan apabila proses penjualan tiket bermula nanti supaya tidak berlaku kekecohan atau sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Beliau memaklumkan kaunter jualan tiket yang sepatutnya dibuka 10 pagi akan diawalkan kerana FAM prihatin dengan keadaan penyokong yang telah berbaris sejak malam tadi.
Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir namun mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!