Empat MNO kekal bersama DNB akses 5G di landasan tepat

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan dua pengendali rangkaian operasi mudah alih (MNO) untuk tidak melanggan saham Digital Nasional Bhd (DNB) tidak memberi impak besar kepada kerajaan dari segi kewangan kerana terdapat beberapa bank tempatan dan juga bank asing yang bersedia untuk membiayai pelaksanaan 5G di Malaysia.

"Ini juga mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap pelan pembangunan 5G di negara kita,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz kepada Bernama.

Namun begitu, katanya, keputusan tersebut sudah tentunya ada impaknya dari segi melambatkan garis masa pelaksanaan 5G untuk rakyat dan perniagaan dan hakikat bahawa Malaysia sudah tertinggal dari segi pelaksanaannya berbanding dengan negara jiran serantau.

Terkini, dua daripada empat pengendali rangkaian operasi mudah alih (MNO) yang komited untuk melanggan saham DNB terpaksa berbincang semula dengan pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah masing-masing bagi kemungkinan melanggan jumlah pegangan ekuiti yang berbeza.

Empat MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi.com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih tetap dengan keputusan masing-masing untuk melanggan saham DNB.

Difahamkan Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd tidak bercadang untuk mengambil kepentingan dalam DNB.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, ada kemungkinan saham DNB akan ditawarkan kepada MNO asing.

"Opsyen untuk menawarkan pegangan ekuiti kepada MNO asing juga masih ada kerana pelbagai MNO asing telah menzahirkan hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan rangkaian 5G tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Dasar Kerajaan adalah untuk mengutamakan MNO domestik, namun dengan adanya baki saham yang masih boleh dilanggan, kerajaan tidak menolak kemungkinan penawaran saham DNB kepada MNO asing,” katanya.

Perjanjian Langganan Saham baharu pada September, 80 peratus liputan 5G menjelang 2024

Mengenai Perjanjian Langganan Saham (SSA) baharu, Tengku Zafrul berkata, beliau berharap agar ia dapat dimuktamadkan pada bulan September agar kerajaan boleh menawarkan perkhidmatan 5G secepat mungkin untuk manfaat Keluarga Malaysia.

"Paling penting adalah pelaksanaan 5G buat manfaat rakyat dan perniagaan. Dalam tempoh rundingan untuk memuktamadkan SSA, saya difahamkan DNB juga telah menjalankan rundingan mengenai Perjanjian Akses 5G,” katanya.

Menurutnya, bagi MNO yang tidak melanggani saham DNB, mereka masih boleh menawarkan akses 5G melalui Perjanjian Akses 5G.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur 5G Malaysia amat penting untuk Malaysia membina ekonomi berasaskan digital yang berpotensi meraih pelbagai kesan pengganda seperti peningkatan kumulatif keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga RM650 bilion bagi tempoh 2022-2030 serta penjanaan 750,000 pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

"Ia juga bakal memanfaatkan sembilan industri dan sektor, dan bakal mendorong pembangunan 15 bandar raya pintar,” katanya.

Kementerian Kewangan melalui pegangan ekuiti dalam DNB akan memastikan agar rangkaian dan infrastruktur 5G dibangunkan secepat mungkin dan DNB kekal di landasannya bagi mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!