KKM saran tempat pelancongan, rekreasi sediakan peranti AED

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) bergambar bersama peserta latihan selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) di Zoo Taiping, pada Jumaat. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) bergambar bersama peserta latihan selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) di Zoo Taiping, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua tempat pelancongan dan rekreasi supaya menyediakan peranti defibrilator luaran automatik (AED) untuk kegunaan orang awam.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penyediaan peranti AED mampu mengurangkan risiko kematian mengejut seperti akibat serangan jantung, pengsan dan lemas.

"Saya amat mengalu-alukan usaha (penyediaan AED di tempat pelancongan) kerana banyak kematian mengejut berlaku selepas bermain badminton, bola sepak atau berlari.

"Orang awam juga perlu mempelajari teknik bantuan pernafasan (CPR) untuk menyelamatkan mangsa sebelum pihak petugas kesihatan sampai di sesuatu lokasi kejadian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan AED di Pavillion Zoo Taiping dan Night Safari di sini, pada Jumaat.

Dr Noor Azmi berkata, Zoo Taiping dan Night Safari merupakan zoo pertama di negara ini menyediakan peranti AED sebagai usaha menyelamatkan orang awam terutama pengunjung yang mengalami serangan jantung seterusnya dapat mengurangkan risiko kematian.

"Serangan jantung merupakan punca utama kematian di negara ini dengan 24 peratus daripada mereka yang terkena serangan adalah berusia 50 tahun ke bawah dan kebanyakannya lelaki," katanya.

AED adalah peranti yang boleh menganalisis denyutan jantung dan memberi maklumat kepada penyelamat sama ada untuk menyampaikan arus renjatan kepada mangsa serangan jantung terutama di tempat awam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!