Gesa kerajaan percepat harga siling p-hailing
KUALA SELANGOR - Kerajaan digesa mempercepatkan ketetapan harga siling bagi upah pengambilan dan penghantaran sektor p-hailing di seluruh negara.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketetapan harga siling itu penting bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan itu yang dianggap masih rendah.
Malah katanya, penyelesaian harga siling itu penting bagi membolehkan penghantar p-hailing memperoleh pendapatan setara dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
"Pendapatan pekerja sektor tidak formal ini masih terumbang-ambing dan tidak stabil bergantung kepada permintaan pelanggan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Keselamatan Motosikal P-Hailing di Bandar Puncak Alam di sini pada Jumaat.
Pada program itu, lebih 100 penghantar p-hailing di sekitar daerah ini menerima sumbangan topi keledar dan minyak hitam percuma.
Dzulkefly memberitahu, kerajaan perlu segera menetapkan harga lantai atau siling munasabah bagi kelangsungan hidup terutama bagi mereka yang mempunyai tanggungan.
Ujar beliau, penetapan harga siling itu sekali gus menjamin pendapatan bulanan sektor p-hailing dan bukannya secara bermusim.
"Secara umumnya, pekerjaan mereka sememangnya bergantung kepada kekerapan trip atau jumlah pelanggan harian, namun pendapatan mereka akan lebih terjamin dan stabil sekiranya ada satu harga siling sebenar ditetapkan," jelasnya.
Tambah beliau, perkara itu turut akan dibahaskannya di sidang Parlimen kerana lebih 1,000 penghantar p-hailing di Kuala Selangor turut menuntut isu berkenaan diselesaikan.
Pada 11 Ogos lalu, media sebelum ini melaporkan pelan penambahbaikan ekosistem ekonomi gig p-hailing diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut mengandungi cadangan penetapan harga lantai itu.
Pelan dibangunkan bersama Pemuda UMNO, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menggesa syarikat penyedia menambah baik sistem peta digital di aplikasi syarikat supaya jarak perjalanan selaras dengan sistem peta aplikasi di Google atau Waze.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!