Pas robek kunci kestabilan politik MN apabila sertai PN: Zahid
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kunci kejayaan dan kestabilan politik Muafakat Nasional (MN) adalah kepercayaan tetapi ia telah dirobek oleh Pas apabila memilih untuk menganggotai Perikatan Nasional (PN) di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, dengan pemilihan tersebut ia menenggelamkan momentum kerjasama yang dibina bersama UMNO melalui MN.
"Bagaimanakah kestabilan, keyakinan dan kerjasama yang kukuh dapat terjalin sekiranya perkara paling asas iaitu prinsip dan kepercayaan diabaikan?
"Lebih lagi dengan parti yang sememangnya jelas ingin menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.
"Apa yang saya lihat, kerjasama yang Pas sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan parti itu tidak pernah mengisytiharkan pembubaran MN sehingga kini, begitu juga UMNO.
Jelas Tuan Ibrahim, platform penyatuan ummah itu perlu diteruskan demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam serta masa depan negara.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menambah, hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, keikhlasan Pas baru dapat dilihat.
"Kini UMNO perlu bergerak ke depan, parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak-tanduk dan sikap Pas sendiri.
"Tak perlu sedu-sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam. Inilah realiti politik yang perlu kita hadapi," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!