Rumah jadi tempat simpan arak tidak bercukai
KOTA KINABALU - Taktik penyeludup menggunakan sebuah rumah kampung di Jalan Tamparuli Togop, di sini sebagai lokasi transit penyimpanan minuman keras tidak bercukai gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sabah, Jumaat lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, pelbagai jenis minuman keras bernilai lebih RM600,000 dirampas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sabah bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Cheong Yu Min berkata, ketika serbuan dijalankan, tiga lori ditemukan berada di pekarangan rumah berkenaan.
Anggota terpaksa memecah masuk rumah dan ketiga-tiga lori berkenaan sebelum menemui semua minuman keras di dalam kenderaan terbabit.
"Hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak 31,775.04 liter minuman keras ditemukan disyaki barang-barang tidak bercukai dengan anggaran RM123,450.03 serta anggaran duti serta cukai yang terlibat RM495,849.81," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan di Sepanggar di sini, pada Jumaat.
Ujar beliau, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana rumah dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni.
"Modus operandi bagi kes ini adalah menyimpan barang-barang tidak bercukai di dalam rumah yang dijadikan sebagai transit sebelum minuman itu diedar dengan menggunakan lori tiga tan jenis 'bonded truck' bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!