Muafakat Nasional belum ditalkinkan

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas menyifatkan gagasan Muafakat Nasional (MN) wajar diselamatkan kerana tiada mana-mana pihak yang telah menamatkan kerjasama terbabit.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sayap parti Pas itu akan memperkukuhkan MN sebagaimana pendirian yang dinyatakan pimpinan Pas Pusat.

Menurutnya, rundingan antara Pas dan Barisan Nasional (BN) wajar diteruskan bagi menyelamatkan negara daripada ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

"Muafakat Nasional tidak pernah mati. Tiada siapa pun yang mentalkinkan MN. Mungkin di pihak UMNO dan BN sering menyebut mahu bertanding secara solo pada PRU15.

"Namun di pihak Pas, kami sentiasa menyebut bahawa MN wajar diperkukuhkan," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-63 di sini pada Jumaat.

Ahmad Fadhli tegaskan, rundingan untuk kembali mengukuhkan MN akan diteruskan parti itu sehingga hari terakhir menjelang penamaan calon.

"Rundingan akan kami usahakan bukan sahaja untuk kukuhkan MN, tetapi termasuk rundingan berkaitan 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal.

"Antara 20 hingga 27 kerusi yang dimenangi PH ini dilihat berpotensi dimenangi oleh UMNO atau Pas sekiranya tidak bertembung antara satu sama lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai cadangan perwakilan untuk menjenamakan 27 kerusi terbabit sebagai "kerusi muafakat nasional", Ahmad Fadhli berkata, rundingan perlu dilakukan sebelum kedua-dua pihak mencapai kesepakatan.

"Soal jenama perkara kedua, yang penting rundingan itu perlu berlaku terlebih dahulu. Selepas itu, kalau mahu namakan kerusi MN, terpulang.

"Sekiranya rundingan tidak berlaku, kerusi terbabit berisiko dimenangi oleh PH dan kita (Pas, BN) menanggung kerugian," katanya.

Menurutnya, taburan kerusi berkenaan akan diumumkan pada masa yang sesuai kerana melibatkan beberapa negeri.

"Kerusi itu tentunya tidak ada di negeri-negeri yang tidak dimenangi PH, seperti Kelantan dan Terengganu. Boleh jadi ada di Kedah, namun senarainya akan dikeluarkan bila tiba masanya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!