PRU15: Muda elak berlaku pertindihan kerusi
JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan memastikan tidak berlaku lagi pertindihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya akan memastikan perkara itu tidak berulang lagi bagi mengelak perpecahan sekali gus memastikan dapat ke Putrajaya bagi membentuk kerajaan.
Bagaimanapun kata beliau, Muda masih belum mengadakan perbincangan berkenaan pembahagian kerusi dengan PH.
Pada masa ini tumpuan parti terarah kepada memperkuat jentera parti di negeri-negeri sebagai persiapan menghadapi PRU buat pertama kali.
"Sekiranya sama seperti PRN Johor, maka parti gabungan PH akan berbincang mengenai pembahagian kerusi sesama mereka terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kita berharap satu perbincangan akan diadakan bersama Muda untuk membentuk gabungan," katanya.
Amira Aisya berkata demikian kepada pemberita selepas melawat rumah flat Taman Mount Austin di sini pada Jumaat yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.
Pada PRN Johor Mac lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara Muda dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun kedua-dua calon parti itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).
Pada PRN Johor, Muda membuka langkah pertama dalam gelanggang politik apabila bekerjasama dengan bertanding di tujuh kerusi namun hanya Amira Aisya menang di kerusi DUN Puteri Wangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, Muda berharap dapat meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU15 kerana hanya gabungan tersebut mendukung prinsip dan dasar yang sama dengan parti berkenaan.
"Muda yang baharu didaftarkan pada Disember tahun lalu memerlukan kerjasama dengan parti lain untuk bertanding pada PRU15. Oleh itu, kita mengintai peluang untuk kerjasama dengan PH seperti mana dilakukan pada PRN Johor sebelum ini," katanya.
Keputusan kerjasama tersebut katanya, tidak diputuskan Muda secara sendirian sebaliknya perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu membabitkan parti-parti komponen dalam PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!