Tiga pameran perdagangan antarabangsa sasar jana RM170 juta

Timbalan Presiden Macita, Prof Datuk Naim Mohamad menyerahkan cenderahati kepada Noor Ahmad (tiga dari kiri) disaksikan oleh Chong Tik (kiri) ketika majlis prapelancaran pameran-pameran perdagangan antarabangsa yang bakal berlangsung Disember depan.
Timbalan Presiden Macita, Prof Datuk Naim Mohamad menyerahkan cenderahati kepada Noor Ahmad (tiga dari kiri) disaksikan oleh Chong Tik (kiri) ketika majlis prapelancaran pameran-pameran perdagangan antarabangsa yang bakal berlangsung Disember depan.
A
A
A

TIGA pameran perdagangan antarabangsa berskala besar yang bakal berlangsung serentak di ibu negara Disember depan dijangka mampu menjana impak ekonomi Malaysia bernilai lebih RM170 juta.

Acara berkenaan terdiri daripada Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) ke-17; Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-33 (MIMF) dan Pameran Penjenamaan Malaysia Pertama (MyBrands) yang diadakan bersama Pameran Eksport Zhejiang kelapan (Malaysia) 2022.

Ketua Pegawai Operasi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Noor Ahmad Hamid berkata, acara yang akan melibatkan delegasi terbesar dari China itu akan memberi peluang kepada pemain industri tempatan menerokai pasaran antarabangsa.

Menurutnya, pameran tersebut mampu menjana impak pertumbuhan ekonomi yang sangat positif seiring dengan pembukaan sempadan negara ketika fasa peralihan endemik Covid-19.

"Persatuan Perhubungan Perdagangan Antarabangsa China Malaysia (Macita) selaku penganjur utama acara-acara ini memberi sasaran lebih kurang 250 pempamer dari China sendiri... itu tidak termasuk sasaran dari negara-negara lain.

"Tentunya apabila kita bercakap mengenai pameran terutamanya perniagaan, ini akan merancakkan pelaburan dan ekonomi kepada negara dan pertukaran mata wang asing.

"Ini menjadi peluang kepada industri tempatan untuk meningkatkan pengetahuan kerana China merupakan ekonomi terbesar di dunia.

"Justeru, kita jangka nilai bagi penjanaan impak ekonomi menerusi acara-acara ini dianggarkan lebih kurang RM170 juta ke atas," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas prapelancaran pameran berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Noor Ahmad menambah, selain delegasi China, turut terlibat adalah pempamer terdiri dari Korea Selatan, Thailand, Sepanyol, Taiwan, Indonesia dan Filipina.

Katanya, pameran yang berlangsung akan melibatkan 3,000 pembeli dan 30,000 pengunjung dari serata dunia.

Sementara itu, Presiden Macita, Datuk Chong Chong Tik berkata, selaras dengan pameran perdagangan norma baharu, acara pameran akan diadakan dalam format hibrid, iaitu menggabungkan penyertaan secara fizikal dan dalam talian.

"Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atas sokongan penuh penganjuran acara-acara ini.

"Dengan inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) mampu menggalakkan penyertaan pempamer dengan disokong oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk kerjasama daripada gabungan 100 persatuan," katanya.

MIBS ke-17 serta MyBrands dan Pameran Eksport Zhejiang ke-8 (Malaysia) 2022 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 Disember ini manakala, MIMF (1 hingga 3 Disember) berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!