Bekerjasama dengan syarikat robotik gergasi China
PASIR GUDANG - Kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat pembuatan robotik terkemuka dunia, Siasun Robot & Automation Co Ltd dalam tempoh terdekat ini.
Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Dr S Ramakrishnan berkata, kerjasama dengan syarikat gergasi berpengkalan di China itu merupakan usaha pemantapan tenaga kerja berkemahiran yang ada seiring dengan Revolusi Industri 4.0.
"Kerjasama ini akan melibatkan syarikat berkenaan dengan Johor Skills Development Centre (Johor Skills). Mereka akan membantu kita dalam pembangunan silibus baharu dan pengetahuan mengenai teknologi robotik yang semakin berkembang.
"Kita dah melakukan perbincangan dengan pihak mereka dan kertas kerja juga sedang disiapkan. Sebaik sahaja kita dapat kebenaran usahasama ini akan dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Penutupan Minggu Jalinan Mesra Johor Skills, di sini, hari ini.
Ramakrishnan berkata, hubungan terbabit juga dilihat penting bagi memastikan negeri mampu membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Katanya, perkara itu juga dilihat merupakan saluran terbaik bagi merealisasikan aspirasi kerajaan negeri untuk mentransformasi Johor sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi.
"Bersuaian dengan peredaran zaman, bidang kemahiran memang sangat diperlukan selain boleh menjanjikan pulangan lumayan. Bukan kita tidak mempunyai kemahiran, cuma perkembangannya mendatar.
"Bila tidak berubah dan tiada naik taraf, itu menyebabkan gaji dan bayaran diterima rendah, jadi kita kena berubah ke satu tahap baru dan bersama-sama memainkan peranan dalam Industri Revolusi 4.0," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan beberapa program bagi meningkatkan kesedaran generasi muda terutamanya lepasan sekolah untuk mengambil bidang kemahiran berbanding mengejar status memasuki universiti.
"Pelajar kita banyak memberi fokus untuk pergi ke universiti, tetapi menghabiskan pelajaran bukanlah kemahiran, sekarang graduan dalam bidang tertentu dan sains antara yang paling susah mendapatkan kerja.
"Jadi sekarang kita kena memberi fokus kepada kemahiran, bukan graduan universiti sahaja. Kita kena melihat model digunakan Jerman, mereka hanya memandang kemahiran dan bukan graduan universiti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!