Enam pasukan Jelajah Dunia sahut cabaran LTdL22
PENGANJUR Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL22), Human Voyage mengumumkan enam pasukan berstatus Jelajah Dunia yang akan menyertai perlumbaan jelajah berbasikal terulung di Asia itu yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini.
Enam pasukan itu ialah UAE Team Emirates dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education-EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan dari Kazakhstan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL22, Shahaizereen Abdul Hamid berkata, pihaknya sangat berbangga kerana dapat membawa masuk enam pasukan profesional terbaik dalam senarai Pasukan Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini, kerana mereka ingin menyajikan aksi berkualiti tinggi kepada peminat sukan berbasikal tempatan.
"Lima daripada enam pasukan berkenaan akan membuat penampilan sulung dalam LTdL kerana Astana- Qazaqstan telah menyertai perlumbaan ini beberapa kali.
"Penyertaan pasukan berkelas tinggi ini akan menjadikan edisi tahun ini antara penganjuran terbaik dari segi kualiti penyertaan pasukan terkemuka dunia yang akan mempersembahkan pertandingan berkelas dunia kepada peminat sukan berbasikal tempatan dan luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Shahaizereen berkata, tiga pasukan dengan status ProTeam telah mengesahkan penyertaan mereka dalam jelajah edisi ke-26, tahun ini.
Pasukan itu ialah Drone Harper-Androni Giacattoli dari itali yang juga peserta tetap LTdL, UNO-X Pro Cycling dari Norway dan Alpecin-Deceuninck (Belgium).
"Pada masa ini, kami sedang mengesahkan pasukan lain untuk mengisi slot ProTeam," katanya.
Antara pasukan yang akan mengambil bahagian dalam perlumbaan jelajah berbasikal berprestij itu ialah dua pasukan profesional benua tempatan iaitu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC), selain pasukan serantau seperti pasukan kebangsaan Malaysia, Thailand Continental Team dari Thailand dan Team UKYO (Jepun).
LTdL22 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.8km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!