Majlis Getah Malaysia jadi penganjur bersama IRGCE 2022
MAJLIS Getah Malaysia (MRC) akan menjadi penganjur bersama Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-10 dan Konvensyen dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2022 yang akan diadakan dari 6 hingga 8 September 2022.
Bertemakan "Breaking Boundaries: Game Changing Initiatives”, acara antarabangsa itu akan berlangsung serentak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Hizwan Ahmad berkata, MRC berbangga untuk menjadi penganjur bersama dua acara terkemuka secara serentak yang akan menghimpunkan penggiat dalam keseluruhan ekosistem industri getah kerana ia adalah platform penting untuk mendorong industri untuk terus berkembang di sebalik keadaan semasa di seluruh dunia ketika ini.
"Diharapkan aspek utama pertumbuhan industri seperti meningkatkan produktiviti, keberkesanan kos, automasi dan kualiti produk serta penyelidikan dan pembangunan akan ditangani secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata, MRC mengharapkan penyertaan daripada orang ramai dan industri getah secara keseluruhan kerana MRC yakin acara antarabangsa itu adalah platform utama untuk meningkatkan industri ke tahap yang lebih tinggi.
IRGCE anjuran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) sudah bersedia untuk menampilkan persidangan tanda dagangannya sebagai platform utama untuk peneraju industri dan profesional untuk memudahkan perbincangan mengenai inovasi, perkembangan dan trend terkini dalam industri sarung tangan getah perubatan dan peralatan pelindung diri.
Acara itu akan melibatkan 300 peserta pameran yang mengambil bahagian yang digelar sebagai acara sarung tangan getah terbesar di dunia dan ia dijangka menarik sebanayak 10,000 pengunjung.
Pada masa yang sama, IRICE yang dianjurkan oleh MARGMA bersedia untuk mentakrifkan peluang dan menangani cabaran yang dihadapi oleh pemain industri getah Malaysia khususnya mengenai pertumbuhan dan pembangunan sektor hiliran dan huluan.
Sementara itu, MRC bersedia untuk menganjurkan program pemadanan perniagaan selama dua hari melalui Misi Penyumberan Global yang akan diadakan secara fizikal dan maya dari 6 hingga 7 September. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!