Tiada 'double standard' dalam sistem perundangan negara

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

JIKA beberapa minggu lalu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyeleweng dana syarikat SRC International, pada Khamis pula isterinya turut menerima nasib sama juga atas kesalahan menerima rasuah.

Pada Jumaat, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri pula diminta membela diri di mahkamah atas kesalahan serupa.

Selain empat individu tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim turut terpalit dengan skandal serta penyelewengan wang yang mana kes mereka masih dibicarakan di mahkamah.

Jika dilihat daripada rentetan tersebut, tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa UMNO kini sedang dalam proses ‘pembersihan’ daripada pemimpin kluster mahkamah, seterusnya bakal menjadi penanda aras baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sebelum ini, UMNO dikatakan bakal berdepan dengan cabaran apabila penyokong mereka akan beralih sokongan ke parti lain susulan keterlibatan pemimpin dalam rasuah, namun penganalisis politik veteren, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpandangan, mereka akan kembali kepada UMNO dan mencari ‘tuan’ baharu.

Justeru pembersihan pemimpin ‘kaki sakau’ sememangnya memberi impak kepada parti sekali gus mampu menarik kembali sokongan dan kepercayaan, selain membina semua imej parti ke tahap yang lebih baik.

Ahmad Atory turut menjangkakan, mungkin selepas ini UMNO lebih berlapang dada untuk menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Pas atau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam menghadapi PRU15 selepas ‘bebas’ daripada penguasaan pemimpin berkenaan yang turut menjadi penghalang kepada Muafakat Nasional (MN).

Dalam pada itu kita juga harus memuji sistem undang-undang negara yang dilaksanakan secara adil dan saksama, tidak kira pesalah merupakan golongan marhaen ataupun VIP.

Artikel Berkaitan:

Bahkan ini membuktikan kebebasan dalam sistem kehakiman negara masih wujud dan tidak sesekali mengamalkan ‘double standard’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Semoga Malaysia akan bebas daripada pemimpin yang tamak, perasuah dan salah guna kuasa dan diterajui oleh mereka yang benar-benar ikhlas memerintah negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!