Banjir kilat: DBKL perkasa pembersihan longkang, saliran

Banjir kilat di Kuala Lumpur pada April lalu.
Banjir kilat di Kuala Lumpur pada April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat persiapan rapi untuk menghadapi kemungkinan banjir kilat akibat hujan berterusan pada September dengan memberi fokus kepada keupayaan sistem saliran.

Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, ia berikutan data yang diperoleh sebelum ini mendapati taburan hujan di ibu kota itu jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Menurutnya, DBKL akan memastikan longkang-longkang tidak dipenuhi sampah, daun kering atau botol minuman yang menghalang air dalam saliran dan menjurus kepada banjir kilat jika hujan berpanjangan.

"Saya membuat keputusan supaya Alam Flora Sdn Bhd sebagai pihak kontraktor perlu keluarkan sijil mengesahkan sistem perparitan dan longkang yang dibersihkan olehnya tidak akan menghalang air hujan (mengalir masuk).

"Pada minggu lalu, pendekatan ini (membersihkan longkang) berjaya dan kita tidak nampak takungan air yang besar boleh menghalang lalu lintas atau rumah dimasuki air," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2022 di Mandarin Oriental Hotel di sini pada Jumaat.

Selain itu, Mahadi berkata, satu kajian tentang penyimpanan air bawah tanah akan dilakukan sebagai salah satu pelan jangka masa panjang untuk mengatasi banjir kilat di Kuala Lumpur.

Katanya, kajian tersebut akan mengambil masa empat hingga lima bulan untuk mengenalpasti kesesuaian pelaksanaan inisiatif dengan mengambil kira faktor tarikan graviti dan topografi lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Di Tokyo, air ditakung dahulu supaya tidak berlakunya banjir kilat atau air bertakung (water ponding) yang teruk, maka air disimpan di bawah tanah.

"Kita sedang mengkaji perkara ini melalui perunding yang dilantik untuk mengeluarkan penemuan berkaitan perkara tersebut dalam tempoh empat hingga lima bulan.

"Ia perlu diletakkan di tempat paling rendah supaya mudah air disalirkan kepada lokasi yang kita kenal pasti sebagai tempat penyimpanan air," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!