Polis sahkan ambil keterangan Rafizi 3 petang ini
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan akan merakam keterangan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Sabtu, susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah memaklumkan Rafizi datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk dirakam keterangan.
"Betul, kita telah memanggil beliau (Rafizi) untuk dirakam percakapan pada hari ini," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Sabtu, Rafizi menerusi hantaran di Facebook turut memuat naik surat arahan untuk hadir ke IPD Sentul pada jam 3 petang.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Rafizi sedia dipanggil polis susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Bagaimanapun, beliau turut mempersoalkan mengapa Abd Latiff belum dipanggil polis memberi keterangan walaupun laporan polis terhadapnya berhubung isu projek LCS telah dibuat Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!