[VIDEO] Pas tolak pihak terpesong konsep ta‘awun Islam

Abdul Hadi ketika memulakan sambutan perasmian Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada Sabtu.
Abdul Hadi ketika memulakan sambutan perasmian Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan terpesong daripada konsep ta‘awun (kerjasama) yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas juga tidak akan memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahukan jawatan, salah laku atau salah urus.

Menurutnya, meraikan kemungkaran semata-mata untuk menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip adalah konsep kerjasama yang salah dan berdosa.

"Jika seseorang itu berdosa dan insaf, dibuka pintu taubat dan pengampunan. Namun, Pas tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat," katanya dalam ucapan dasar Presiden Pas ketika merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hadi berkata, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat akan membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi pilihan raya termasuk segala kemungkinan selepas pilihan raya bagi memastikan Islam terus memimpin.

"Ini termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam," katanya.

Menurutnya, kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan takwa seperti perpaduan umat berlandaskan Islam yang menegakkan adil kepada semua.

"Perpecahan hanya menyebabkan kelemahan umat sehingga menghilangkan kuasa politik memerintah negara.

"Pas bertanggungjawab untuk mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak," katanya.

Tegas beliau, parti itu juga akan berterusan menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera.

"Pas memperkenalkan pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk dan menolak agenda perpaduan kaum yang sempit dan wawasan yang terhad," katanya.

@sinarharianonline Presiden Pas tegaskan parti itu menolak sesiapa sahaja yang ambil pendekatan terpesong dalam kerjasama politik dengannya #MuktamarPas#PresidenPas original sound - Sinar Harian