Kes denggi di Kelantan catat peningkatan

Dua kes kematian denggi dicatatkan tahun ini di Kelantan. - Gambar hiasan
Dua kes kematian denggi dicatatkan tahun ini di Kelantan. - Gambar hiasan
A
A
A

TANAH MERAH - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan 5,667 daripada 154,640 premis atau rumah kediaman di negeri ini mempunyai 'sarang' pembiakan jentik-jentik.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia mendorong kepada peningkatan kes denggi pada tahun ini bermula Januari hingga Ogos apabila mencatat peningkatan sebanyak 252.21 peratus berbanding tahun lepas.

"Tahun lepas tempoh yang sama (Januari-Ogos) hanya 140 kes sahaja dikesan tetapi tahun ini ia mencatatkan 513 kes iaitu mengalami peningkatan sebanyak 373 kes.

"Terdapat dua kes kematian denggi dicatatkan tahun ini dan bagi tempoh yang sama tiada kes kematian pada tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sunathon Amal Alor Pasir 2022 di Masjid Al-Mustaqim Alor Pasir, di sini pada Sabtu.

Dr Zaini (dua dari kiri) menyembur air kepada kanak-kanak yang akan dikhatan pada Sunathon Amal Alor Pasir 2022 di Masjid Al-Mustaqim Alor Pasir, Tanah Merah pada Sabtu.
Dr Zaini (dua dari kiri) menyembur air kepada kanak-kanak yang akan dikhatan pada Sunathon Amal Alor Pasir 2022 di Masjid Al-Mustaqim Alor Pasir, Tanah Merah pada Sabtu.

Program yang disertai oleh seramai 70 kanak-kanak lelaki itu dianjurkan bersama Masjid Al-Mustaqim Alor Pasir dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan.

Beliau berkata, terdapat lima wabak denggi aktif di seluruh negeri ini iaitu Taman Sri Machang (Ketereh), Pantai Sabak 2 (Sering), Cherang 2 (Panji), Taman Kurnia Jaya 2 dan Taman Kurnia Jaya 1 (Kemumin).

Menurutnya, tahun ini sebanyak 26 wabak denggi telah dilaporkan berbanding hanya enam wabak bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaini berkata, bagi mengatasi masalah tersebut JKNK telah mengeluarkan sebanyak 1,087 kompaun dengan nilai RM543,500 bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Katanya, sebanyak 109 notis bawah Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan Aedes.

"Kami berharap masyarakat terutama di sekitar kawasan wabak sentiasa mengambil berat kebersihan sekeliling bagi mengelakkan penularan denggi," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!