Penantian 30 tahun miliki tanah berakhir

Wei Kiat (tiga dari kiri) menyampaikan Notis Borang 5A kepada penduduk Taman Bukit Rawang Jaya pada Sabtu.
Wei Kiat (tiga dari kiri) menyampaikan Notis Borang 5A kepada penduduk Taman Bukit Rawang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

RAWANG - Penantian penduduk Taman Bukit Rawang Jaya untuk mendapat hak milik tanah membuahkan hasil selepas 188 daripadanya diberikan Notis Borang 5A pada Sabtu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Rawang Jaya, R Kumar berkata, pemaju muflis beberapa tahun selepas penduduk menerima kunci menjadi punca mereka menghadapi isu hak milik tanah itu.

Menurutnya, beberapa usaha dilakukan persatuan penduduk bagi menyelesaikan permasalahan itu, namun menemui jalan buntu dan hanya menampakkan perkembangan positif pada 2018.

"Kami cari pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah ini hingga ada penduduk pernah kena tipu, sudah keluar duit tapi geran tidak dapat.

"Pada 2018, kami minta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang bantu, ketika itu baru ada progress, walaupun susah hendak yakinkan penduduk tapi akhirnya kami berjaya selesaikan masalah ini," katanya ketika penyampaian Notis Borang A Taman Bukit Rawang Jaya disampaikan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat pada Sabtu.

Kumar berkata, proses permohonan itu bagaimanapun tertangguh seketika susulan Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum usaha tersebut diteruskan oleh Wei Kiat.

Katanya, dijangka lebih ramai penduduk akan membuat permohonan selepas ini apabila melihat ada di antara mereka telah diberikan borang 5A.

"Pihak persatuan sedia membantu proses permohonan memandangkan sudah ada pengalaman menguruskan dokumen, proses dijangka menjadi lebih mudah dan lancar, proses menunggu juga mungkin jadi lebih pendek.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang membantu menyelesaikan masalah kami, diberikan pula premium khas hanya RM2,500 berbanding jika ikut prosedur biasa kadarnya mencecah ratusan ribu," katanya.

Sementara itu, Wei Kiat berkata, beliau menyasarkan menyelesaikan isu pemilikan tanah di lokasi perumahan berusia 30 hingga 40 tahun di Rawang.

"Dalam tempoh beberapa tahun ini, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan isu hak milik tanah di Taman Industri Great Year, Taman Bukit Rawang Jaya dan menyusul Kampung Sungai Terentang serta Sungai Bakau.

"Pada masa sama, saya berharap baki Taman Bukit Rawang Jaya yang belum menerima tawaran dapat memberikan kerjasama dalam menyediakan dokumen berkaitan bagi membolehkan penyerahan fasa dua dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!