KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditemui maut di bilik sewanya di USJ 6 di Subang Jaya selepas dipercayai mencederakan dirinya sendiri pagi, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, mayat wanita berusia 24 tahun ditemukan jirannya yang sebelum itu terdengar jeritan mangsa. Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, sepasukan anggota dari unit rondaan bermotosikal (URB) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas jiran mangsa menghubungi polis berikutan curiga selepas mendengar jeritan berkenaan. “Setiba di lokasi, pintu rumah berkenaan dikunci dari dalam menyebabkan polis terpaksa memotong jeriji besinya. “Pemeriksaan mendapati seorang wanita ditemui terbaring dia atas katil dalam bilik dengan kesan darah akibat kecederaan dialami,” katanya di sini, hari ini. Menurutnya, wanita berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat. "Siasatan di lokasi mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat berkenaan. “Dan keputusan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana bunuh diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.