70 peratus akar umbi UMNO masih sedih terhadap nasib Najib

Ahmad (tiga dari kanan) melepaskan konvoi bermotosikal Merdeka Belia Kampung Puteri Menangis, pada Sabtu.
Ahmad (tiga dari kanan) melepaskan konvoi bermotosikal Merdeka Belia Kampung Puteri Menangis, pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Akar umbi UMNO didapati masih berdukacita dengan nasib bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan mesyuarat khas parti itu baru-baru ini, dapatan diperoleh menunjukkan 70 peratus ahli UMNO termasuk akar umbi masih berduka terhadap nasib Najib.

"Selain itu 30 peratus ahli UMNO pula berbeza pendapat. Mereka merangkumi dua golongan iaitu yang menerima dan menghormati ketetapan mahkamah manakala satu lagi golongan, tidak mengambil kisah langsung terhadap apa yang berlaku.

"Dapatan tersebut diperoleh menerusi mesyuarat khas parti yang diadakan baru-baru ini. Banyak perkara dibincangkan termasuk pandangan daripada ahli dan akar umbi terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam sidang akhbar selepas pelepasan konvoi bermotosikal Merdeka Belia Kampung Puteri Menangis, pada Sabtu.

Pada 26 Ogos lalu, UMNO menegaskan parti itu tidak akan mengajak ahlinya membuat demontrasi di jalanan seperti dilakukan oleh penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, tidak mustahil simpati rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum-15 (PRU15).

Tegas Ahmad, bagaimanapun ia bukan bermakna BN dan UMNO bergembira dan mengambil kesempatan terhadap kedukaan dialami bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya.

"Politik bukan setakat 'game of numbers' tetapi mengenai persepsi dan emosi.

Artikel Berkaitan:

"Emosi terkini rakyat adalah dukacita dan marah terhadap nasib Datuk Seri Najib. Emosi rakyat yang marah ini pernah berlaku ketika Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1999.

"Emosi rakyat ketika itu, simpati kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan marah terhadap Tun Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri) yang dianggap bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," katanya.

Pada masa sama Ahmad berkata, kemarahan rakyat berhubung nasib Najib tidak sepatutnya ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bertanggungjawab dalam kes pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang bermula ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah negara pada 2018.

"Maka, kemarahan rakyat itu perlu ditujukan kepada PH yang memulakan pendakwaan politik terpilih terhadap Najib," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!