'Tangani isu secara komprehensif'

NIK NAZMI
NIK NAZMI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menangani insiden hujan lebat yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan di ibu negara semalam secara serius dan komprehensif.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, apa yang diperlukan ialah dasar dan pendekatan baharu yang mengutamakan keperluan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, bandar-bandar Malaysia termasuk Kuala Lumpur sedang menuju bencana jika hal ini tidak dilakukan.

Menurutnya, perubahan iklim, penambahan penduduk yang semakin meningkat dan dasar pembangunan tidak terkawal kerajaan sebelum ini menyumbang kepada masalah alam sekitar dan isu yang serius.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata, kerajaan sedang sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.

"Oleh itu, semua projek pembangunan dan infrastruktur perlu dilihat dengan lebih teliti dan dipantau dengan rapi.

"Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang yang berkaitan mesti dijalankan tanpa rasa takut atau memilih bulu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan tidak harus teragak-agak untuk menghentikan mana-mana projek tidak sesuai dan merosakkan kelestarian bandar-bandar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kepentingan rakyat mesti diutamakan.

"Ada yang berkata projek tertentu perlu diteruskan untuk menghormati kesucian kontrak... Tapi ini hanya satu sisi hujah.

"Apa jua yang dikatakan dan dilakukan, kemaslahatan rakyat mesti menjadi keutamaan," katanya.

Menurutnya, ramai yang percaya undang-undang itu dan akan sentiasa berada di pihak kerajaan yang menegakkan hak orang ramai dalam kontroversi seperti itu.

Katanya, pentadbiran PH boleh dan mestilah berbeza dengan kerajaan terdahulu dalam mengendalikan pelbagai isu tadbir urus, termasuk keperluan bandar-bandar besar dan rakyatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!