Projek PSR: PIC tunggu maklum balas JAS
GEORGETOWN - Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd (PIC) sedang menunggu maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang baharu diserahkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Farizan Darus berkata, laporan EIA yang baharu itu telah diserahkan pada 29 April lalu untuk diperhalusi.
Menurutnya, ia merupakan laporan EIA kedua bagi projek mega tersebut selepas Lembaga Rayuan JAS mengetepikan laporan EIA yang pertama pada tahun lalu.
"Kita masih menunggu, kita sudah serahkan laporan EIA kepada mereka (JAS). Kita sudah ada perbincangan panel dan kita sudah bentang, jadi kita tunggu laporan daripada panel untuk kita memuktamadkan keperluan-keperluan EIA termasuk aku janji.
"Ini adalah EIA yang paling lama kita tunggu tetapi sebagai projek di bawah tanggungjawab kerajaan, kita kena patuhi semua peraturan yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Program-Program Pendidikan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi Projek PSR pada Sabtu.
Jelas beliau, JAS sepatutnya memberi maklum balas terhadap laporan EIA itu pada bulan ini.
"Kalau ikutkan 'timeline', sepatutnya pada bulan ini tetapi setakat ini, tiada lagi yang kita terima," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya laporan EIA kedua itu diluluskan, JAS akan menetapkan syarat-syarat tertentu untuk dipatuhi.
"Untuk mulakan projek, kita perlu serahkan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) kepada JAS Pulau Pinang sebagai 'lesen' untuk memulakan kerja.
"Bagi EMP, tempoh untuk kita mendapatkan keputusan adalah dua minggu daripada tarikh kita hantar," jelas beliau.
Tahun lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan JAS yang mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS terhadap Laporan EIA untuk Projek PSR.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri juga akan memulakan proses pengemukaan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada zaman pasca-Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.
Zairil berkata, berdasarkan keputusan bertulis Lembaga Rayuan, laporan EIA tersebut didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) yang dianggap belum lagi berkuat-kuasa ketika kelulusan EIA diberi.
Menurut Zairil, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan JAS dan berpendapat bahawa segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan-kelulusan yang perlu telah pun dipatuhi termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019.
Sebelum ini, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.
Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).
Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!