'Bukan mudah bawa kemenangan Islam' - Abdul Hadi

Pas Kedah menerima anugerah pencarum SkimPAS paling ramai yang disampaikan oleh Abdul Hadi kepada Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Kedah, Zulkifli Yahaya. - Foto Perhubungan Pas Kedah
Pas Kedah menerima anugerah pencarum SkimPAS paling ramai yang disampaikan oleh Abdul Hadi kepada Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Kedah, Zulkifli Yahaya. - Foto Perhubungan Pas Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Pas bersedia hadapi cabaran politik dengan berpandukan kepada akidah Islamiah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui ketika ini terdapat banyak kelemahan dan salah laku seperti penipuan atau politik wang.

"Oleh itu, Pas bersedia berdepan cabaran tersebut. Ini kerana Pas mendahulukan pendekatan damai, politik berdakwah selain memberi ilmu kepada masyarakat yang tenggelam dalam kejahilan Islam atau ketinggalan dalam fahaman politiknya.

"Ini kewajipan menegakkan Islam dalam aspek negara. Pas tetap bersabar melalui pendekatan demokrasi demi mencapai kemenangan secara damai.

"Walaupun terlalu banyak cabaran perlu dihadapi, kita percaya kepada janji ALLAH SWT bahawa Islam ialah petunjuk kepada kesejahteraan dunia sehingga akhirat," katanya dalam ucapan dasar Presiden Pas ketika merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, bukan mudah membawa kemenangan Islam sehingga berkuasa memerintah negara.

"Bahkan kemenangan parti Islam di kebanyakkan negara ada yang dibatalkan secara tidak bermoral dan demokratik.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menunaikan kewajipan memenangkan Islam, Pas perlu mengambil strategi berhikmah dan tegas, elak bertawaduk tidak pada tempatnya," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, tegas beliau, ketika Pas menjuarai agenda perpaduan ummah, parti itu hendaklah menunjukkan perpaduan yang kuat dalam parti.

"Elak berkelahi di cawangan, kawasan, negeri, dewan atau pusat. Kita mesti bersatu dan jangan berpecah. Perbezaan pendapat perkara biasa, yang penting jaga adab dalam perbezaan selain taat dan wala’ kepada keputusan parti dan kepimpinan, selagi tidak menyalahi syarak," katanya lagi.

Dalam pada itu, ujar beliau, keahlian Pas kini melebihi sejuta ahli dengan 197 kawasan.

"Susunlah jentera daripada sumber yang ada dan wujudkan strategi terbaik menerusi pendekatan demokrasi damai yang menjadi pilihan kita.

"Inilah pendekatan pertama dalam perjuangan Islam, khususnya dalam negara kita," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!