Harimau Selatan diikat Red Giants
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meraih tiga mata berharga apabila sekadar terikat 1-1 bertemu Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Perlawanan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan bermula baik dengan saling mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapun, pelawat lebih dahulu membuka jaringan menerusi Bergson da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33.
Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan Selangor FC mula bangkit mengatur asakan ke gawang JDT dalam usaha menjaringkan gol penyamaan, namun gagal menembusi benteng pertahanan pelawat hingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Selangor FC mula menggandakan asakan bagi menjaringkan gol penyamaan.
Asakan demi asakan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang import tuan rumah, Herlison Caion menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-65.
Gol berkenaan menyaksikan kesebelasan Selangor FC semakin bersemangat untuk mengasak ke gawang JDT bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan pelawat hingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!