Terengganu FC ‘benam’ Melaka United FC di Gong Badak
FINALIS Piala FA 2022, Terengganu FC meraih tiga mata selepas kenduri gol, 5-1 bertemu Melaka United FC (MUFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Beraksi di dapan penyokong sendiri menyaksikan skuad Penyu itu mengasak hebat ke gawang pelawat sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.
Usaha mereka berhasil apabila Kpah Sherman berjaya memanfaatkan peluang di depan pintu gol lawan bagi menjaringkan gol pertama Terengganu FC pada minit ke-15.
Ketinggalan 0-1 menyaksikan kesebelasan Melaka mula bangkit bagi menjaringkan gol penyamaan, namun semua asakan gagal menghasilkan jaringan hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua menyaksikan Terengganu FC semakin garang mengasak ke gawang MUFC dalam usaha menambah jaringan.
Hasilnya pemain gantian, Nik Muhamamd Sharif Haseefy Mohd Lazim menjaringkan gol kedua Terengganu FC pada minit ke-61.
Lima minit berselang giliran penyerang import, Tchetche Kipre menjaringkan gol ketiga buat tuan rumah sebelum Kipre sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-75 bagi memastikan skuad Penyu itu terus selesa memimpin perlawanan.
Ketinggalan 0-4 bagaimanapun dilihat masih belum melemahkan semangat kesebelasan MUFC untuk terus mengasak ke gawang tuan rumah dalam usaha merapatkan jurang gol.
Bagaimanapun kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya kesebelasan Terengganu FC apabila Tchetche Kipre mencatatkan hatrik jaringan untuk gol kelima tuan rumah pada minit ke-81.
Biarpun selesa mendahului 5-0, namun kesebelasan Terengganu FC dilihat masih bersemangat untuk mengasak ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!