City terlepas tiga mata berharga
HAJAT Manchester City untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian apabila diikat pasukan yang sedang bergelut, Aston Villa 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Beraksi cemerlang Erling Haaland yang berhijrah dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan £51 juta (RM263.3 juta) apabila menyumbat gol pada minit ke-50 di Villa Park.
Gol ke-10 penyerang Norway itu dalam enam perlawanan Liga Perdana pertamanya menyaksikannya menyamai rekod Micky Quinn, yang mencatatkan jumlah jaringan sama untuk Coventry pada 1992.
Bagaimanapun skuad bimbingan Pep Guardiola dihukum kerana gagal mengutip tiga mata penuh selepas Leon Bailey menyamakan kedudukan minit ke-74.
"Kami tidak tajam dalam sentuhan penyudah terutama pada separuh masa pertama. Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua ketika menguasai permainan tetapi gagal menyempurnakannya.
"Kami terlepas beberapa situasi dan itulah sebabnya kami tidak dapat menjaringkan gol, tetapi kami dapat bertahan dengan baik," ujar Guardiola.
Ia adalah kali pertama City gagal menjaringkan lebih daripada satu gol selepas meledak 19 gol dalam lima perlawanan pembukaan mereka.
Selepas terikat 3-3 menentang Newcastle pada Ogos tahun lalu, ini adalah kali kedua City gagal meraih mata maksimum.
City yang belum pernah tewas, kekal berada di tempat kedua mengatasi Tottenham dengan perbezaan gol.
Dalam pada itu, pengendali Villa, Steven Gerrard memberitahu, pasukannya sudah kehilangan terlalu banyak mata musim ini dan perlu bangkit segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!