Dr Mahathir dibenar keluar IJN, sambung kuarantin di rumah
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.30 pagi pada Ahad.
Pejabat Dr Mahathir dalam kenyataan berkata, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dimasukkan ke IJN selepas disahkan positif Covid-19 pada Rabu.
Menurut kenyataan tersebut, beliau akan meneruskan kuarantin di rumahnya sehingga pada Selasa ini.
Kali terakhir Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke IJN adalah pada awal Januari tahun ini untuk menjalani prosedur perubatan elektif.
Pada 16 Disember tahun lalu, media melaporkan Dr Mahathir turut dimasukkan ke institut itu untuk menerima rawatan sama.
Dr Mahathir sebelum ini pernah mendapat serangan jantung pada tahun 1989 dan dua lagi serangan jantung pada tahun 2006 iaitu setahun kemudian beliau menjalani pembedahan pintasan kuadrup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!