MBSJ sasar penurunan karbon kawasan bandar raya

Johary (dua dari kanan) menyertai demonstrasi masakan di Program Selamat Pagi Subang Jaya di Jalan Kemajuan pada Ahad
Johary (dua dari kanan) menyertai demonstrasi masakan di Program Selamat Pagi Subang Jaya di Jalan Kemajuan pada Ahad
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan yang dijenamakan sebagai Program Selamat Pagi Subang Jaya bermula pada Ahad.

Program pada setiap minggu pertama bertempat di Jalan Kemajuan berhadapan Aeon Big dan Subang Parade di Subang Jaya itu bermula pada jam 7 pagi sehingga jam 11 pagi.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, penganjuran program merupakan inisiatif MBSJ bagi mencapai sasaran penurunan karbon di kawasan bandar raya.

"Ia selaras dengan Pelan Tindakan Bandar Hijau Subang Jaya di bawah Pelan Tindakan 4: Kesedaran Gaya Hidup Rendah Karbon," katanya pada Program Selamat Pagi Subang Jaya di Jalan Kemajuan di sini pada Ahad.

Menurutnya, pelaksanaan program juga selaras dengan matlamat pembangunan mampan (sustainable development goals) iaitu SDG 3: Good Health An Well Being, SDG 11: Sustainable Cities and Communities dan SDG 13: Climate Action sekali gus menyahut saranan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi pengurangan karbon (CO2) kepada 45 peratus pada tahun 2030.

Selain itu, Johary berkata, aktiviti sosial ini dapat memupuk semangat berbilang kaum tanpa mengira agama dan bangsa selaras dengan tema Hari Kebangsaan bagi negeri Selangor iaitu 'Kita Selangor Teguh Bersama'.

"MBSJ telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan gaya hidup sihat (sukan dan riadah) kepada anggaran seramai 1,500 komuniti Bandaraya Subang Jaya yang hadir.

"Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan nyanyian, pertandingan mewarna, demo memasak, permainan kereta elektrik, demostrasi bola keranjang dan lain-lain lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, MBSJ akan menambahbaik lagi pelbagai pengisian aktiviti pada bulan-bulan akan datang berikutan program pada hari ini merupakan Program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ yang kedua bagi tahun 2022.

"MBSJ mengalu-alukan agar seluruh komuniti Bandaraya Subang Jaya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan dan menjayakan #selamatpagisubangjaya (Program Selamat Pagi Subang Jaya) bulan depan iaitu pada 2 Oktober sekali gus menyokong Pelan Tindakan Bandar Hijau MBSJ," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!