Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal main peranan

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal memainkan peranan apabila harga barangan masih mahal.

Pengerusi Biro Pengguna, Pertanian dan Luar Bandar Amanah, Faiz Fadzil berkata, kadar inflasi utama Malaysia naik lagi ke paras 4.4 peratus pada Julai dan meningkat empat bulan berturut-turut.

Menurut pemimpin Amanah itu, lebih parah lagi apabila inflasi makanan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu 6.9 peratus seperti dilaporkan oleh MIDF Research.

"Harga barang makanan masih mahal menunjukkan pasukan jihad inflasi gagal dan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Ismail Sabri Yaakob) pada 13 Ogos lalu kononnya pasukan itu berjaya menurunkan harga barang adalah satu cakap politik semata-mata.

"Keadaan ini membimbangkan kerana pakar-pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih perlahan dalam tempoh Julai hingga Disember 2022," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata keadaan itu juga dijangkakan tidak akan banyak berubah dalam tahun hadapan.

"Bagaimana rakyat mampu hadapi inflasi kalau ekonomi lembab? Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melaporkan rakyat terpaksa memotong perbelanjaan kerana dibebani isu kos sara hidup.

"Rakyat Malaysia tidak seharusnya hidup sekadar ‘alas perut’, dan ini jelas satu kegagalan kerajaan BN-Bersatu-Pas menguruskan ekonomi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Sudah genap dua bulan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa, di mana solusi atau pelan tindakan komprehensif untuk tangani inflasi? Pasukan Jihad Inflasi diingatkan supaya tidak ‘tidur’ lagi," tegasnya.

Beliau berkata, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), inflasi makanan tidak pernah mencecah 6.9 peratus seperti sekarang ini.

Menurutnya, kadar paling tinggi adalah 2.6 peratus, jauh lebih rendah dibandingkan kadar sekarang.

"Itupun kadar inflasi makanan direkodkan melebihi dua peratus hanya untuk empat bulan sahaja sepanjang pemerintahan PH.

"Malah, kadar inflasi makanan paling rendah ketika zaman PH adalah 0.4 peratus sahaja," katanya.

Justeru katanya, Annuar harus menjelaskan apakah tindakan segera yang akan diperkenalkan memandangkan inflasi makanan berada pada tahap tertinggi dalam sejarah.

"Sudah dua bulan bermesyuarat, namun tidak ada apa-apa langkah yang efektif diumumkan. Oleh itu, kerajaan digesa meneliti segera keperluan bantuan tunai khas atau 'digital food voucher' untuk mengurangkan beban golongan B40 dan M40 yang dicadangkan sebelum ini bagi meringankan beban rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!