Daftar derma organ melalui MySejahtera mulai 6 September

Pendaftaran sebagai pengikrar derma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera mulai 6 September ini. - Gambar kecil: Khairy
Pendaftaran sebagai pengikrar derma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera mulai 6 September ini. - Gambar kecil: Khairy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendaftaran sebagai pengikrar derma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera mulai 6 September ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ia susulan kadar pendermaan organ di negara ini sangat rendah apabila Malaysia tergolong antara 10 negara yang mempunyai kadar transplantasi terendah di dunia bagi 2021 iaitu 2.84 pembedahan transplantasi bagi setiap 1 juta populasi menurut Global Observatory on Donation and Transplantation.

"Apabila mereka buat ikrar melalui MySejahtera maklumat itu terus sampai ke Pusat Sumber Transplan Nasional. Sekiranya berlaku kes kematian mana-mana hospital dan layak derma organ, ia akan keluar dalam sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Khairy berkata, bilangan pesakit yang masih menunggu untuk mendapatkan derma organ di Malaysia setakat hari ini adalah seramai 10,442 orang.

Namun katanya, hanya 2,700 kes transplantasi melibatkan pendermaan organ dijalankan sejak 1975.

"Berdasarkan statistik terkini pendermaan organ dari Pusat Sumber Transplan Nasional pada Julai 2022 menunjukkan terdapat sebanyak 779 penderma organ sebenar selepas kematian sejak 1997 manakala jumlah pengikrar penderma organ selepas kematian adalah seramai 517,758 orang sejak 1997,” katanya.

Mengulas mengenai pemakaian pelitup muka, Khairy berkata, beliau akan membuat pengumuman berkenaan ketetapan baharu pelitup muka selewat-lewatnya Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam yang dipengerusikannya sudah menerima syor daripada pakar mengenai pemakaian pelitup muka dan KKM masih dalam proses mengumpul pandangan orang ramai mengenai perkara itu.

Sementara itu, beliau berkata, tiga pendekatan perlu dilihat oleh KKM sebelum negara diumumkan beralih ke fasa Endemik termasuk pengisytiharan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, Khairy berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih terpakai di seluruh negara sehingga akhir Disember tahun ini di mana seluruh kawasan Malaysia isytiharkan sebagai kawasan penyakit berjangkit.

Pendekatan ketiga adalah indikator kesihatan yang perlu diperoleh daripada pakar epidemiologi dalam konteks COVID-19 yang masih lagi bermutasi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!