PKR belum tetap senarai calon PRU15

PKR belum menetapkan calon mewakili parti itu memandangkan masih di peringkat rundingan bersama parti komponen PH lain. Gambar kecil: Wei Kiat
PKR belum menetapkan calon mewakili parti itu memandangkan masih di peringkat rundingan bersama parti komponen PH lain. Gambar kecil: Wei Kiat
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menetapkan calon mewakili parti itu memandangkan masih di peringkat rundingan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain bagi agihan kuota kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata, rundingan sedang berjalan dalam keadaan baik bagi tempoh dua hingga tiga minggu kebelakangan ini.

Menurut Wei Kiat, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan segera bagi melancarkan persiapan blok pembangkang menghadapi PRU15.

"Calon untuk PKR belum ada lagi kerana perlu selesaikan isu rundingan kerusi dalam komponen PH terlebih dahulu, kemudian barulah parti akan bincang bab calon pula.

"Pada pandangan saya, lebih baik calon diumum awal supaya gerak kerja dan segala persediaan boleh disiapkan awal sebelum Parlimen dibubarkan," katanya pada Ahad.

Ditanya sama ada pengumuman calon awal boleh menimbulkan isu sabotaj dalam kalangan ahli parti, beliau berkata, perkara tersebut tidak dapat dielakkan.

"Lewat atau awal umum, pasti ada kelompok yang akan tidak puas hati, cuma apabila diumum awal kita boleh siap sedia.

"Setakat ini, PKR dalam keadaan baik selepas pemilihan berakhir semua akur dengan keputusan.

Artikel Berkaitan:

"Nampak gerak kerja lebih laju selepas Rafizi Ramli menang Timbalan Presiden. Tak nampak isu perebutan kerusi atau perpecahan kerana kami bersatu hati nak menang PRU," kata beliau.

Tambahnya, PH kini sedang bertungkus-lumus membuat persiapan PRU menerusi konvensyen pilihan raya disusuli jelajah Ayuh Malaysia dengan sasaran penganjuran program setiap minggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!