Tiga beradik teruja tempuh 'alam dewasa'
SEREMBAN - Meskipun dimomokkan oleh rakannya bahawa kesakitan berkhatan seperti 'digigit harimau', namun ia sedikit pun tidak menggentarkan Muammad Afiq Habbibn Azizol, 12 untuk melalui pengalaman itu.
Malah dia bersama dua adiknya, Muhammad Aqil Habib, 8, dan Muhamad Adib Habb, 7, begitu teruja dan tidak sabar meskipun tanpa ditemani ibu bapa.
Seawal jam 6 pagi tiga beradik yang tinggal di Kampung Orang Asli Sunggala di Port Dickson ini sudah bangun menunggu untuk dijemput pergi ke program Sinar Kedewasaan yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi pada Ahad.
Program dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan(JHEAINS) dengan kerjasama Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia itu pertama kali diadakan dengan penglibatan seramai 30 peserta berusia antara lima hingga 14 tahun.
Menurut Muammad Afiq Habbibn, tiada apa yang perlu ditakutkan kerana ia merupakan fasa yang perlu dilalui oleh semua kanak-kanak lelaki.
"Tiga hari lepas mak beritahu mahu menghantar kami bersunat dan saya terus setuju, malah yakin untuk melaluinya.
"Saya ada tanya dengan kawan-kawan di sekolah dan mereka cakap macam 'digigit harimau'. Tapi saya tak takut pun," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, paling menyeronokkan apabila dimandikan secara beramai-ramai oleh pancutan air bomba sebelum menunggu giliran untuk dikhatankan.
Bagaimana pun dia sedih kerana tidak ditemani ayahnya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan empat tahun lalu.
Selain itu, sepasang kembar dari Kampung Orang Asli Panchor, Jempol iaitu Zul Mohd Zaki dan Mezul Mohd Zaki, 13, memberitahu tidak sabar melalui proses itu memandangkan kesemua rakan sekelasnya yang beragama Islam telah berkhatan.
Kata Zul Mohd, walaupun sedikit sakit namun lega kerana semuanya berjalan lancar.
"Kami lambat berkhatan kerana beberapa kali ibu terlepas peluang untuk mendaftar sebagai peserta.
"Bila ada program berkhatan beramai-ramai macam ini dapat kurangkan rasa takut dan dapat jimatkan kos," katanya.
Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEIANS, Asniza Ahmad berkata, program itu dianjurkan secara percuma bagi meringankan beban ibu bapa sekali gus memberi galakan kepada Orang Asli beragama Islam untuk berkhatan.
Ini kerana katanya, ada dalam kalangan mereka yang telah lama memeluk Islam, namun masih belum berkhatan.
"Biasanya penggerak masyarakat Orang Asli yang akan membantu menguruskan urusan berkhatan mereka di hospital atau klinik.
"Tapi kali ini, kita ubah dengan anjurkan program berkhatan secara beramai-ramai begini dan positifnya kerana mendapat sambutan menggalakkan," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya bercadang untuk menganjurkan program itu secara tahunan dengan turut melibatkan golongan remaja dan dewasa serta bukan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!