[VIDEO] Suami isteri ditahan disyaki edar dadah
JOHOR BAHRU - Polis menahan pasangan suami isteri dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah dan menyerbu stor yang menyimpan pelbagai barang terlarang itu di sebuah pangsapuri di Larkin, pada Khamis.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pelbagai jenis dadah bernilai RM214,287 dirampas dalam serbuan sekitar jam 5 petang hingga 8 malam itu yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor merampas
"Serbuan pertama melibatkan penahanan pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 36 tahun di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya sekitar bandar raya ini.
"Susulan penahanan suami isteri itu, polis membuat serbuan di sebuah pangsapuri yang dikawal oleh pengawal keselamatan dan merampas 14.32 kilogram (kg) heroin; 158 gram serbuk ekstasi; 38.23 gram syabu dan 71 gram ketamin. Wang tunai RM530 turut disita," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Kamarul Zaman berkata, kegiatan dipercayai sudah beroperasi sejak empat lalu itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan kedua-dua suspek sebagai orang tengah sebelum dadah diedarkan sekitar Johor Bahru.
"Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek negatif bagaimanapun semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek wanita mempunyai rekod berkaitan Akta Kanak-kanak 2001. Suspek lelaki pula mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya.
Tambah Kamarul Zaman, suspek direman tujuh hari mulai 2 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bermula 1 Januari sehingga Sabtu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menahan 9,701 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas 2.62 tan dengan keseluruhan dadah dirampas bernilai RM11.93 juta serta harta sitaan sebanyak RM6.92 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!