Presiden Filipina adakan lawatan ke Indonesia, Singapura
MANILA - Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos berlepas ke Indonesia pada Ahad sempena lawatan pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan presiden pada 30 Jun lalu, lapor Xinhua.
Marcos akan mengadakan lawatan negara tiga hari ke Indonesia sebelum ke Singapura dari 6 hingga 7 September.
"Lawatan ke negara jiran ASEAN adalah untuk memanfaatkan potensi hubungan perdagangan dan pelaburan," kata Marcos sebelum berlepas ke Jakarta.
Ketika berada di Jakarta, Marcos akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan kedua-dua pemimpin dijangka menumpukan perihal berkaitan hubungan dua hala serta perubahan persekitaran geopolitik.
Beliau dan Widodo bakal menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian yang meliputi bidang kerjasama penting, kata Marcos.
Di Singapura, Marcos akan mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden, Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
Selain mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala, ekonomi, isu serantau dan global, Marcos dan Hsien Loong akan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian dalam bidang pencegahan keganasan dan privasi data.
Singapura ialah rakan dagang penting Filipina di ASEAN dan sumber utama pelaburan yang diluluskan pada 2021.
"Kerjasama ekonomi kami dengan Singapura telah berkembang pesat sejak setengah abad lalu, dan banyak lagi peluang sedang menunggu untuk dimanfaatkan kedua-dua pihak," kata Marcos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!