Arowana 'Awang Senyum' bernilai RM17,000
MARANG - Seekor ikan kelisa atau arowana unik yang mulutnya kelihatan sentiasa 'tersenyum' mendapat perhatian dalam kalangan peminat ikan berkenaan malah pernah ditawarkan pada harga RM17,000.
Bagaimanapun, pemiliknya, Khairul Anuar Saad, 38, belum mahu menjual ikan yang digelar Awang itu kerana menyifatkan ia satu-satunya ikan unik yang pernah dipelihara setakat ini.
Menurutnya, ikan jenis 'super red' Kalimantan itu dibeli dari Indonesia ketika usianya belum mencecah setahun dengan saiz antara 22 hingga 25 sentimeter (cm) pada 2021.
"Baru-baru ini ada seorang peminat arowana yang berkenan untuk membeli Awang dengan menawarkan harga RM17,000.
"Namun saya terpaksa menolak sebab saya belum mahu menjual ikan ini kerana ia antara ikan yang saya sayang. Bentuknya unik dan membuatkan sesiapa yang melihatnya terhibur," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.
Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, Awang yang kini mencecah usia setahun setengah menunjukkan perkembangan yang sihat malah warna merah pada sisiknya juga semakin menyerlah.
Dia yang menjadikan ikan hiasan itu sebagai mata pencarian mula berkecimpung secara serius dalam bidang itu sejak tiga tahun lalu.
Bermodalkan RM3,000 untuk membeli dua ekor arowana pada 2019, kini Khairul Anuar memiliki 55 ikan arowana yang dijual secara dalam talian bagi pasaran dalam dan luar negara.
"Bulan lalu saya jual seekor arowana berusia dua tahun pada harga RM15,000. Ikan itu memiliki pakej lengkap termasuk warna merah yang begitu menyerlah.
"Jika penjagaan ikan itu dibuat dengan betul, jangka hayatnya boleh mencecah antara 20 hingga 30 tahun," katanya.
Menurut Khairul Anuar, kos memelihara 55 ikan arowana agak mahal kerana perlu mengambil kira beberapa aspek terutama makanan melibatkan kos RM1,000 sebulan selain kos bil elektrik kira-kira RM1,200 sebulan.
Namun katanya, usaha itu berbaloi kerana harga seekor ikan arowana boleh dijual bermula RM1,800 sehingga mencecah RM17,000 jika warna merah pada kulitnya sudah cantik.
"Untuk menaikkan warna merah pada kulitnya, ia boleh mengambil masa sehingga setahun melalui cara 'tanning' iaitu sistem pencahayaan lampu pada akuarium yang perlu dipasang selama 12 jam setiap hari.
"Selain itu, penjagaannya juga agak rumit, kita perlu tukar air setiap hari bagi mengekalkan kualiti tahap alkali (pH) dan suhu air sekali gus memastikan kesihatan ikan berada pada tahap terbaik," jelasnya.
Khairul Anuar yang tinggal di Kampung Alor Lit, Bukit Payung, dekat sini berkata, hobi membela ikan arowana turut berdepan risiko kerugian iaitu kematian terutama melibatkan perjalanan udara dan darat yang jauh.
"Setiap tempahan yang dibuat daripada pembekal di Kalimantan, Indonesia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk tiba di pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Ia antara risiko yang perlu dihadapi. Selain itu, saya juga perlu mematuhi peraturan bagi menjalankan perniagaan ikan ini antaranya permohonan permit dan sijil oleh Jabatan Perikanan," katanya yang berhasrat mendapatkan ikan arowana induk bagi tujuan pembiakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!