Covid-19: 690 Duta Komuniti bantu tingkat kesedaran rakyat

Aswadi (dua dari kanan) ketika beramah mesra bersama tetamu jemputan sempena Program Aktivis@Japen dan Merdeka@Komuniti di Kampung Padang Lembek pada Sabtu.
Aswadi (dua dari kanan) ketika beramah mesra bersama tetamu jemputan sempena Program Aktivis@Japen dan Merdeka@Komuniti di Kampung Padang Lembek pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 690 Duta Komuniti Keluarga Malaysia di negeri ini berjaya membantu kerajaan menyampaikan pelbagai maklumat mengenai Covid-19.

Pengarah Penerangan negeri, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, ia berikutan keberkesanan kumpulan itu menjalankan amanah mereka sepanjang fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata, kerjasama Duta Komuniti membantu masyarakat memahami dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Ini terbukti apabila jumlah pesakit menurun, kadar pematuhan SOP semakin baik dan kesedaran kesihatan semakin tinggi," katanya kepada pemberita ketika Program Aktivis@Japen dan Merdeka@Komuniti di Kampung Padang Lembek di sini pada Sabtu.

Menurut Muhd Nor Aswadi, Duta Komuniti bergerak bersama agensi lain termasuk Pejabat Kesihatan negeri untuk memberi penerangan berhubung informasi penting kepada masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac melancarkan Program Duta Komuniti Keluarga Malaysia bagi memastikan komuniti terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan (GP) apabila negara beralih dari pandemik Covid-19 masuk ke fasa endemik.

Kriteria untuk menjadi sebagai Duta Komuniti ialah penduduk tempatan, individu yang suka kepada aktiviti kesukarelaan dan berada dalam masyarakat.

Sementara itu, Muhd Nor Aswadi memberitahu, Program Aktivis@Japen dan Merdeka@Komuniti melibatkan kira-kira 1,000 penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Antara aktiviti yang diadakan ialah ziarah kasih Keluarga Malaysia, pemeriksaan kesihatan, taklimat jenayah scammer dan memasak bubur asyura.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!