‘Pembersihan UMNO’ tak ubah persepsi masyarakat

Razeef Rakimin
Razeef Rakimin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyangkal dakwaan bahawa ‘pembersihan’ UMNO daripada pemimpin yang terpalit dengan isu penyelewengan baru-baru ini menjadikannya semakin baik sebaliknya hanya membuktikan parti itu korup.

Timbalan Ketua Penerangannya, Razeef Hakimin berkata, hakikatnya ia tidak akan mengubah persepsi masyarakat terhadap UMNO.

Menurutnya, mengecewakan apabila pimpinan parti tersebut tidak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sebaliknya terdapat dalam kalangan mereka cuba menuduh Pakatan Harapan (PH) sebagai dalang.

“Selepas pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor pula didapati bersalah dan dihukum penjara sepuluh tahun dan denda RM910 juta. Kemudian Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar dan isterinya diarah bela diri oleh mahkamah atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

“Tidak kira sama ada taktik meraih simpati atau pembuktian pembersihan sedang dijalankan, hakikatnya UMNO sudah tidak relevan dan perlu dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Razeef turut memaklumkan terkejut dengan kenyataan sesetengah pimpinan UMNO yang mendakwa akan melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘mereka’ sebagai usaha membebaskan Najib daripada hukuman penjara jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),

“Adakah tujuan mereka memenangi pilihan raya hanya untuk membebaskan Najib yang jelas bersalah? Nampaknya isu rakyat tidak ada nilai pada mereka, perjuangan UMNO hanya untuk menyelamatkan pemimpin mereka yang berada dalam penjara dan yang bakal dihumban ke dalam penjara kerana rasuah dan salah guna kuasa,” soal beliau.

Jelasnya, sikap UMNO membuktikan parti itu akan mempergunakan sistem perundangan jika diberi peluang memerintah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!