Jangan boikot calon dipilih parti
ALOR SETAR - Ahli dan penyokong Pas diminta menghentikan perbuatan memboikot calon yang dipilih oleh pimpinan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perbuatan itu hanya akan menyebabkan Pas tewas kerana kesannya cukup besar dan buktinya dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
Menurutnya, hal yang sama tidak boleh berulang pada PRU15 sekiranya Pas mahukan kemenangan.
“Jika calon diumumkan, haramkan rombongan ‘Mak Cik Kiah’ dan ‘Pak Samad’ berarak ke Rusila dan Jalan Raja Laut kerana isu calon diputuskan parti, perlu taat apa yang diputuskan.
"Kita dukacita apa yang berlaku di PRN, hanya satu kerusi di Melaka dan Johor yang jelas kita tak menang kerana boikot oleh jentera parti," katanya ketika ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Ahad.
Ahmad Fadhli berkata, ahli perlu menunjukkan kesetiaan kepada parti dengan menerima setiap keputusan secara terbuka.
“Saya nak tanya kepada mereka yang boikot, apa perasaan kamu, tak bersalahkah kamu hingga menyebabkan kekalahan parti?
"Kita tidak runsing kalau yang boikot itu orang luar atau pengundi biasa, namun keputusan PRN lalu jelas kerana boikot dan tak puas hati soal calon,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut meminta jentera parti menggerakkan usaha untuk menarik pengundi parti lain di kawasan yang tidak dikuasai oleh Pas.
"Contohnya, kita lihat pengundi Pakatan Harapan (PH) yang di tempat dia undi, parti dia pun tak menang, jadi kita ajak mereka menimbang antara Pas dan UMNO. Sudah tentulah yang beri mudarat kepada negara adalah UMNO, maka undilah Pas.
“Begitu juga seandainya berlaku pertembungan antara mana-mana kerusi, kalau dia undi UMNO yang menang pun PH, maka bagilah pertimbangan kepada Pas supaya menang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!