22 lokasi di Terengganu berisiko dilanda kepala air

Md Hilman (tengah) meninjau keadaan di Lata Ulu Kasar, di Setiu yang dilanda kepala air pada Jumaat.
Md Hilman (tengah) meninjau keadaan di Lata Ulu Kasar, di Setiu yang dilanda kepala air pada Jumaat.
A
A
A

SETIU - Sebanyak 22 lokasi perkelahan di lima daerah di Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda kepala air apabila berlaku perubahan monsun dan keadaan cuaca tidak menentu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, daerah terlibat ialah Setiu, Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Katanya, empat lokasi di daerah Setiu ialah Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah, Lata Payung dan Lata Ulu Kasar manakala Besut (Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark).

"Bagi daerah Hulu Terengganu kawasan terlibat ialah Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Soak, Air Terjun Lasir dan Belukar Bukit); Dungun (Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Cemerong dan Air Terjun Lubuk Kain).

"Kawasan terlibat di Kemaman pula ialah Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Putih, Sungai Cherul," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdekat yang akan bersiap siaga sekiranya berlaku kecemasan iaitu BBP Jerteh, BBP Setiu, BBP Kuala Berang, BBP Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), BBP Kerteh dan BBP Cheneh.

Katanya, BBP terdekat di dua kawasan air terjun di Hulu Terengganu (Air Terjun Soak dan Air Terjun Lasir) ialah di Pulau Bomba Tasik Kenyir.

Dalam pada itu, Md Hilman mengingatkan pengunjung agar sentiasa peka dengan membuat penilaian risiko (perubahan cuaca) terlebih dahulu sebelum ke lokasi berkenaan bagi mengelak ditimpa kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat empat tanda-tanda awal yang kita boleh kenalpasti akan berlakunya kepala air iaitu bunyi deruan atau bunyi air akan turun, perubahan warna air, air berbuih dan mengandungi sampah sarap serta peningkatan air secara mendadak.

"Pengunjung perlu segera bertindak menyelamatkan diri terlebih dahulu serta tidak meletakkan kenderaan berdekatan air bagi mengelak ia tenggelam sekiranya berlaku kejadian seumpama itu," katanya.

Beliau berkata, pengunjung perlu lebih berwaspada kerana bencana itu mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa terutama sepanjang musim cuti persekolahan ini.

"Jika kita peka terhadap perubahan cuaca dan tanda-tanda ini, kita mungkin akan sempat menyelamatkan diri. Saya juga mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan papan tanda amaran supaya masyarakat lebih peka terhadap situasi kepala air.

"Pihak bomba juga akan meluaskan lagi pemasangan loceng kecemasan di tempat yang menjadi tumpuan sebegini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!