Pengunjung air terjun Hulu Selangor perlu peka tanda kepala air

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengunjung kawasan rekreasi air terjun khususnya di kawasan Hulu Selangor disaran supaya berwaspada dengan keadaan cuaca dan tanda-tanda kepala air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, kepala air berlaku apabila hujan lebat terjadi di bahagian hulu sungai walaupun cuaca di lokasi orang ramai mandi adalah baik.

"Orang ramai perlu peka akan keadaan sekeliling dan kenal pasti tanda-tanda awal kepala air yang akan turun seperti perubahan warna air sungai, banyak sampah-sarap, ranting, dahan atau batu yang hanyut secara tiba-tiba.

"Selain itu, pantau juga paras air yang mungkin naik secara mendadak dan apabila kesemua ini berlaku, segera beredar ke kawasan lebih selamat," katanya kepada Bernama, pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan pihaknya terutama apabila negara diramal dilanda fenomena Monsun Timur Laut dan La Nina yang membawa lebih banyak hujan, beliau berkata anggota bomba Selangor telah dipersiapkan dengan latihan dan kemahiran khusus bagi operasi menyelamat.

"Selain itu, kami juga sentiasa mengenal pasti kawasan hotspot (titik panas) berlakunya bencana kepala air ini dan air terjun di Hulu Selangor seperti Sungai Pertak, Lata Medang dan Lubuk Makau adalah antara lokasi yang telah dikenal pasti," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata, walaupun tiada kejadian terkini mangsa lemas atau maut akibat kepala air di daerah itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah akan sebarang risiko yang mungkin berlaku.

"Mereka yang ingin masuk ke hutan (untuk mandi-manda) dinasihatkan supaya maklumkan kepada polis (senarai nama pengunjung) atau lebih baik jangan masuk dahulu. Begitu juga dengan pemilik resort atau chalet supaya ambil pendekatan sama.

Artikel Berkaitan:

"Dari aspek persiapan, polis sentiasa bersedia secara rutin sama ada melibatkan anggota, latihan dan kelengkapan terutamanya apabila musim tengkujuh bermula," katanya.

Menurutnya, Sungai Inki; Sungai Kedondong; Air Terjun Sungai Pinang; Air Terjun Serendah dan Sungai Chilling, Hulu Selangor turut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air di daerah pentadbirannya.

Baru-baru ini, selain fenomena berterusan La Nina yang menyebabkan peningkatan taburan hujan, Jabatan Meteorologi Malaysia turut meramalkan banjir besar akan melanda negara pada penghujung November depan ekoran fasa peralihan monsun bermula akhir September hingga awal November ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!